ADUN Simunjan Turun Padang Bantu Keluarga Mangsa Siling Runtuh Di Kampung Sageng Tengah
SIMUNJAN: Sebuah keluarga di Kampung Sageng Tengah berdepan detik mencemaskan apabila siling rumah kediaman mereka runtuh dalam kejadian sekitar jam 9.00 pagi, menyebabkan rumah tersebut tidak lagi selamat untuk diduduki.
Kejadian itu melibatkan keluarga Salleh @ Saleh Samail yang terdiri daripada lapan ahli keluarga dan kini berdepan risiko susulan kerosakan struktur rumah yang semakin serius.
Susulan insiden tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah turun padang meninjau keadaan serta menyantuni keluarga terlibat.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai bantuan segera bagi meringankan beban keluarga berkenaan, di samping menzahirkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan struktur rumah yang kini tidak lagi stabil.
Sementara itu, keluarga berkenaan difahamkan telah mengemukakan permohonan pembinaan rumah baharu melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) bagi tahun 2026.
Sehubungan itu, Pejabat Daerah Simunjan serta Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Simunjan bersama pihak berkaitan sedang mengambil tindakan susulan bagi mempercepatkan proses kelulusan permohonan tersebut, memandangkan keadaan kediaman sedia ada tidak lagi selamat untuk diduduki. -EDISI UKAS