SEBUYAU: Projek Cadangan Kemudahan Pendaratan Jeti di Sebangan bakal dilaksana dengan projek tersebut kini berada dalam peringkat perancangan dan perolehan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi telah mengadakan lawatan pemantauan ke tapak projek tersebut bersama Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) bagi meninjau perkembangan semasa.
Projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Terintegrasi Samarahan (IRSDA) itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Bahagian Samarahan dengan pembiayaan melalui kaedah Alternative Funding (AF) melibatkan siling peruntukan sebanyak RM3 juta.
Difahamkam, projek ini melibatkan pembinaan jeti baharu jenis konkrit bertetulang (reinforced concrete wharf) yang dianggarkan mempunyai saiz hampir sama seperti jeti sedia ada bagi meningkatkan keupayaan dan keselamatan kemudahan pendaratan di kawasan Sebangan
Tempoh pelaksanaan projek dijangka mengambil masa selama 12 bulan.
Sepanjang lawatan, Datuk Dr Abdul Rahman telah diberikan taklimat oleh agensi pelaksana mengenai perancangan projek serta langkah- langkah pelaksanaan yang akan diambil.
Pembangunan jeti tersebut dijangka memberi impak positif kepada ekonomi setempat khususnya dalam memudahkan aktiviti perikanan serta perhubungan masyarakat di kawasan Sebangan.
Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Jurutera Bahagian JKR Samarahan Ts Mahathir Jokeni, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Irwandee Reduan, Pegawai Tadbir Khas IRSDA Bahagian Samarahan Anuar Da’an, wakil Pegawai Daerah Sebuyau Tahir Putih serta Ketua Bahagian Unit Perancang Ekonomi Sarawak Robita Lee Robinson. -EDISI UKAS