KUCHING: Usaha memastikan rakyat luar bandar dan pedalaman Sarawak menikmati bekalan air bersih yang lebih cepat dan menyeluruh diperkukuh apabila kerajaan Sarawak mengambil alih pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) daripada Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu pertemuan di Sri Pertiwi di sini pada petang Selasa yang menyaksikan penyerahan nota rasmi pelaksanaan projek berkenaan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Langkah strategik itu dijangka mempercepatkan penyampaian kemudahan asas kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih memerlukan akses air bersih yang lebih efisien dan mampan.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid yang tiba di Kuching semalam berada di negeri ini bagi lawatan kerja rasmi yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan serta penyelarasan projek-projek pembangunan infrastruktur.
Terdahulu, beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan Projek BALB bersama Kerajaan Sarawak pada sebelah pagi bagi memastikan pelaksanaan projek dapat diperkemas dan diselaraskan secara lebih berkesan.
Mesyuarat tersebut antara lain menumpukan kepada usaha mempercepatkan pelaksanaan projek serta meningkatkan kecekapan penyampaian bekalan air bersih kepada rakyat.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.-EDISI UKAS