Program Hari Bersama Pelanggan TBS, Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kukuh Jalinan Silaturahim
MUKAH: Program Hari Bersama Pelanggan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang diadakan di Dewan Seri Pekala, Kampung Kuala Lama pada Selasa diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Kehadiran beliau mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha TBS dalam memperkasa pengurusan zakat serta kebajikan masyarakat, khususnya di Bahagian Mukah.
Menurut kenyataan TBS Bahagian Mukah, penganjuran program itu bertujuan mengukuhkan jalinan silaturahim antara TBS bersama pelanggan, di samping meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai perkhidmatan yang disediakan.
“Mereka terdiri daripada penyumbang serta penerima bantuan, dan program ini menjadi platform penting untuk mendekatkan TBS dengan masyarakat.
“Program seumpama ini diharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan strategik antara TBS dengan pelanggan, seterusnya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan zakat dalam membantu golongan yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Menyentuh mengenai program, ia dilihat berjaya mengeratkan hubungan antara institusi tersebut dengan masyarakat setempat, terutamanya dalam kalangan penyumbang dan penerima bantuan.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi memeriahkan suasana, antaranya nyanyian lagu-lagu Aidilfitri, sudut bergambar bertemakan raya, kuiz zakat serta penyediaan Kaunter Perkhidmatan Zakat Potongan Gaji bagi memudahkan urusan pelanggan.
Pada masa sama, majlis turut diserikan dengan jamuan raya serta sesi ramah mesra yang memberi peluang kepada pelanggan untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pihak TBS.
Tambah kenyataan itu, penganjuran program ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan antara TBS dan masyarakat sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan zakat dalam pembangunan ummah. - EDISI UKAS