RM1 Juta Bina Semula Rh Lingga Ujang, 300 Penduduk Tarik Nafas Lega
SARIKEI: Kira-kira 300 penduduk Rumah Lingga Ujang kini boleh menarik nafas lega selepas kerajaan meluluskan peruntukan melebihi RM1 juta bagi membina semula rumah panjang mereka yang uzur.
Projek berkenaan dilaksanakan menerusi beberapa inisiatif kerajaan termasuk Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Projek Mesra Rakyat, selain turut melibatkan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).
Rumah panjang yang mempunyai 75 pintu itu merupakan antara yang terbesar di daerah ini dan menjadi kediaman kepada ratusan penduduk daripada pelbagai lapisan umur.
Tuai Rumah Lingga Ujang berkata, penduduk amat bersyukur dan tidak sabar untuk berpindah ke kediaman baharu tersebut.
Menurutnya, struktur lama rumah panjang yang diperbuat daripada kayu semakin reput terutama pada bahagian lantai dan rangka utama, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan penghuni.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana jumlah penghuni yang ramai meningkatkan risiko kejadian tidak diingini seperti runtuhan.
“Lebih menggembirakan apabila projek ini kini hampir siap dan kami tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu,” katanya ketika ditemui di Rumah Panjang Lingga, Jalan Selangan, pada Selasa.
Beliau menambah, pembinaan semula rumah panjang itu amat penting bagi memastikan penduduk menikmati kediaman yang lebih kukuh, selamat dan selesa.
Dalam pada itu, projek berkenaan turut mendapat sokongan melalui Skim Pinjaman Rumah Panjang oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sebanyak RM30,000 bagi setiap pintu.
Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii atas usaha dan sokongan berterusan dalam merealisasikan projek tersebut.
Penghargaan turut dizahirkan kepada Kerajaan Sarawak serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang inklusif di negeri ini.- EDISI UKAS