Projek Pembinaan Jalan Baharu Di Gunung Ngeli Bakal Pacu Pembangunan Simunjan
SIMUNJAN: Projek pembinaan jalan baharu di Gunung Ngeli berpotensi menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan aksesibiliti serta merancakkan pembangunan setempat di kawasan Simunjan.
Projek 'Cadangan Pembinaan Jalan Baharu di Pusat Servis Gunung Ngeli' merupakan antara inisiatif di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Terintegrasi Samarahan (IRSDA) yang memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur luar bandar.
Lawatan pemantauan projek tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi pada Selasa.
Ia bertujuan mengenal pasti sebarang isu, cabaran atau masalah yang timbul sepanjang pelaksanaan projek di tapak, termasuk aspek teknikal, kemajuan kerja serta pematuhan terhadap spesifikasi dan jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan.
Projek ini melibatkan pembinaan jalan sepanjang 2.75 kilometer yang dilaksanakan mengikut piawaian Jalan JKR R3 dengan kos keseluruhan berjumlah RM21 juta.
Pelaksanaannya dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat melalui penyediaan jaringan jalan raya yang lebih selamat dan efisien selain mengurangkan tempoh perjalanan ke pusat perkhidmatan.
Selain itu, projek tersebut turut membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat khususnya dalam memudahkan pergerakan hasil pertanian serta meningkatkan akses kepada kemudahan asas.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pegawai Tadbir Khas IRSDA Bahagian Samarahan Anuar Da’an, Ketua Bahagian Unit Perancang Ekonomi Sarawak Robita Lee Robinson, Jurutera Bahagian JKR Samarahan Ts Mahathir Jokeni serta Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad. -EDISI UKAS