Ziarah Kasih TPM Cerminkan Nilai Persahabatan, Kepimpinan Berjiwa Rakyat
KUCHING: Di sebalik jadual padat lawatan kerja, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetap meluangkan masa menyantuni rakan seperjuangan, Datuk Zainudin Suut dalam kunjungan penuh mesra di kediamannya di sini pada Selasa.
Dalam suasana santai, beliau dilihat tidak kekok menikmati hidangan tengah hari bersama tuan rumah sambil berkongsi cerita serta bertukar pandangan, menggambarkan keakraban hubungan yang terjalin sekian lama.
Turut mengiringi kunjungan itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben.
Ziarah tersebut bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya mencerminkan nilai murni kepimpinan berteraskan hubungan kemanusiaan dan persahabatan yang utuh.
Pendekatan sebegini dilihat mampu mendekatkan jurang antara pemimpin dan masyarakat, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam membina kesejahteraan bersama.-EDISI UKAS