STEM Catalysts Rapatkan Jurang Luar Bandar, Perkasa Bakat Teknologi Sarawak
DALAT: Program STEM Catalysts yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat pada Selasa menjadi pemangkin penting dalam merapatkan jurang pendidikan luar bandar sekali gus memperkukuh pembangunan bakat teknologi bagi menyokong keperluan ekonomi digital Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan karnival bergerak yang dibawa terus ke sekolah luar bandar membuka akses lebih luas kepada pelajar untuk mendekati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif tersebut membolehkan pelajar luar bandar terlibat secara langsung dalam pembelajaran berasaskan teknologi, sekali gus mengelakkan mereka daripada tercicir dalam arus pembangunan digital yang semakin pesat.
Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan melahirkan generasi yang berani mencuba, berfikiran kritis serta berkemahiran tinggi bagi memenuhi tuntutan ekonomi digital masa kini.
Menurutnya lagi, pelaksanaan STEM Catalysts merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negeri, khususnya dalam membina bakat tempatan dalam bidang teknologi dan inovasi.
Sejak diperkenalkan pada 2024, program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 8,000 pelajar daripada 170 sekolah, manakala tahun ini dijangka melibatkan 160 sekolah dengan lebih 6,000 pelajar di seluruh Sarawak.
Pelaksanaan secara meluas itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperluas akses pendidikan STEM ke kawasan luar bandar, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan generasi muda menghadapi ekonomi berasaskan teknologi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakan strategik dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat atas kerjasama menjayakan inisiatif berkenaan.
Program tersebut turut berperanan sebagai platform mencungkil bakat pelajar serta membuka laluan kepada mereka untuk menyertai sektor teknologi dan inovasi pada masa hadapan. - EDISI UKAS