Penurapan Jalan Legakan Penduduk Rumah Panjang Di Ulu Teru
TINJAR: Penduduk di Ulu Teru di sini bakal menikmati kemudahan jalan berturap selepas projek penurapan laluan utama di kawasan tersebut akan dilaksanakan.
Dengan siapnya projek itu nanti akan menamatkan kebergantungan penduduk yang mendiami lebih 30 rumah panjang terhadap jalan tanah berbukit dan bercerun yang dibina oleh syarikat ladang kelapa sawit.
Ketua Masyarakat Iban Daerah Beluru, Pemanca Enggah Muga berkata, pelaksanaan projek tersebut membawa kelegaan besar kepada penduduk setempat yang sekian lama berdepan cabaran akses asas terutama ketika musim hujan dan kemarau.
“Saya mewakili penduduk rumah panjang amat gembira kerana jalan yang lebih baik ini memudahkan kami akses ke sekolah dan klinik.
“Jalan yang baik ini juga sudah tentu membawa masuk lebih banyak pembangunan seperti bekalan air bersih,” katanya ketika ditemui pada majlis pecah tanah projek penurapan jalan kampung Ulu Teru di Kilometer 8+100, Jalan Ulu Teru pada Selasa.
Majlis pecah tanah projek tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Dorris Carren Gurang dari Rumah Panjang Bunda Lubuk Kelambu Ulu Teru turut menyifatkan inisiatif kerajaan itu sebagai langkah tepat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar.
“Sebelum ini kami resah kerana setiap kali hujan, jalan sangat licin, berbahaya dan sukar dilalui.
“Apabila kemarau pula, jalannya berdebu dan tidak selesa, selain permukaan tidak rata yang meningkatkan kos penyelenggaraan kenderaan,” jelasnya.
Beliau menambah, jalan tersebut merupakan satu-satunya laluan untuk keluar masuk ke rumah panjang, sekali gus menjadikan projek naik taraf itu amat signifikan kepada kehidupan harian penduduk.
Menurutnya lagi, kemudahan jalan berturap kelak akan memendekkan masa perjalanan ke sekolah yang kini mengambil masa antara 30 hingga 40 minit, selain memudahkan pergerakan penduduk yang bekerja di Miri untuk pulang ke kampung.
Dalam masa sama, akses jalan yang lebih baik dijangka merancakkan aktiviti ekonomi penduduk yang bergantung kepada sektor pertanian.
Projek bernilai RM45.2 juta itu melibatkan kerja menaik taraf jalan tanah dan batu kerikil sepanjang 23.4 kilometer kepada piawaian premix, sekali gus menyediakan laluan yang lebih selamat, selesa dan boleh dilalui sepanjang masa.
Selain itu, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan jalan baharu bagi meningkatkan akses ke kawasan Kampung Sungai Bong, Sungai Buti dan Ulu Teru.
Dijangka siap dalam tempoh 24 bulan, projek tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,872 penduduk termasuk sebuah sekolah dan sebuah klinik di kawasan berkenaan, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar serta merangsang pembangunan setempat.-EDISI UKAS