Lubok Tamang Agropark Berpotensi Sebagai Pusat Pengeluaran Tanaman Kelapa
BETONG: Lubok Tamang Agropark mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat pengeluaran tanaman kelapa termasuk tanaman-tanaman lain yang bersesuaian.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, siapnya Jalan Lubok Tamang telah menyebabkan peningkatan pengusaha lokal mahupun luar.
"Jadi, projek ini akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, malah dapat meningkatkan hasil petanian dan ekonomi desa.
"Saya yakin Lubok Tamang Agropark berpotensi menjadi pusat pengeluaran tanaman kelapa ataupun tanaman-tanaman lain yang bersesuaian, sekaligus mengukuhkan kedudukan Saribas sebagai kawasan yang maju dalam sektor pertanian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Pusat Sukan Riveria, Debak pada Jumaat.
Tambahnya, projek yang dikelola oleh Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah dengan kos RM113 juta itu diharapkan dapat dipermudahkan pelaksanaannya yang dijangka akan bermula pada seawal Jun ini.
Mengulas lanjut mengenai Jalan Lubok Tamang, Datuk Mohammad Razi berkata, jalan tersebut bukan sekadar laluan baharu, malah menjadi nadi penghubung utama kepada beberapa kampung di kawasan Saribas.
Ujarnya, jalan tersebut menghubungkan kampung-kampung seperti Kampung Serembang, Kampung Manggut, Kampung Tuie, Kampung Supa, Kampung Medang dan Kampung Sabang ke pekan Debak.
Menurut beliau, laluan itu turut berfungsi sebagai jalan pintas dari kawasan Pusa dan Spaoh ke Debak sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan mendapatkan perkhidmatan berkaitan yang diperlukan.
"Sejak pembinaan jalan ini, kita dapat melihat kesan positif yang nyata iaitu aktiviti perniagaan semakin memuncak.
"Dan pendapatan para peniaga dan peruncit di sini semakin memberangsangkan kerana lebih ramai penduduk sekitar datang untuk membeli-belah dan membawa urusan harian di Debak, dan sekaligus merancakkan ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery