Taman Tasik Desa Ilmu Hampir Siap, Bakal Jadi Nadi Riadah & Ekonomi Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Projek naik taraf Taman Tasik Desa Ilmu kini hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan fizikal mencecah 97.86 peratus, sekali gus dijangka menjadi nadi baharu aktiviti riadah serta pemangkin ekonomi komuniti setempat menjelang sambutan Hari Gawai.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, projek di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) itu dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung, memandangkan kawasan berkenaan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama pada waktu pagi dan petang.
Menurut beliau, antara penambahbaikan utama yang dilaksanakan termasuk naik taraf trek riadah, pembinaan tandas, penyediaan grandstand serta elemen landskap beridentitikan Samarahan seperti konsep perahu tambang.
“Konsep ini bukan sahaja mencantikkan kawasan, malah memberi identiti tersendiri kepada Taman Tasik Desa Ilmu sebagai lokasi riadah utama di Samarahan,” katanya ketika ditemui UKAS pada Jumaat.
Selain fungsi rekreasi, taman tersebut turut dijangka memberi limpahan ekonomi melalui penyediaan ruang keusahawanan kepada penduduk setempat.
Sehubungan itu, satu cadangan pembangunan gerai niaga di kawasan persimpangan Jalan Desa Ilmu turut dirancang dengan anggaran kos RM2 juta bagi fasa pertama.
Jelas Datuk Rubiah, penyediaan gerai niaga berkenaan penting bagi mewujudkan peluang kepada usahawan tempatan menjalankan perniagaan dalam persekitaran yang lebih tersusun dan kondusif.
“Pembangunan ini bukan sahaja berpotensi menjana pendapatan penduduk, malah mampu menghidupkan ekosistem ekonomi setempat selaras dengan pembangunan pesat di Desa Ilmu,” ujarnya.
Beliau menambah, aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan akan terus diberi keutamaan bagi memastikan kawasan berkenaan kekal teratur, selamat serta berdaya saing sebagai destinasi komuniti.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Anuar Da’an dan Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani. —EDISI UKAS