Sarawak Tuan Rumah Sambutan 70 Tahun DBP, Perkukuh Bahasa Melayu Wahana Perpaduan
KUCHING: Sarawak dipilih sebagai lokasi utama Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun ini, mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan wahana perpaduan negara.
Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata, sambutan berkenaan mengangkat tema “Restu Jiwa Pahlawan” yang diilhamkan daripada lirik lagu rasmi DBP karya Sasterawan Negara, Usman Awang.
Menurut beliau, tema tersebut digarap melalui tiga kluster utama iaitu Restu, Jiwa dan Pahlawan yang memberi penekanan kepada pengukuhan dalaman warga DBP, pembinaan generasi muda serta penglibatan masyarakat sebagai pendukung bahasa Melayu.
“Sambutan ini bukan sekadar meraikan sejarah DBP, tetapi menjadi platform penting untuk menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, antara pengisian utama ialah penganjuran Kembara Bahasa dan Sastera yang akan dilaksanakan mengikut zon di seluruh negara, melibatkan pelajar, pendidik, komuniti serta sektor awam dan swasta.
Bagi Sarawak, program tersebut dijadual berlangsung dari 15 hingga 22 Jun 2026 melibatkan beberapa lokasi termasuk Mukah, Samarahan dan Kuching, sebelum kemuncaknya di ibu negeri.
Kemuncak sambutan akan diadakan pada 22 Jun 2026 di sebuah hotel terkemuka di Kuching dan dijangka dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Sepanjang sambutan, pelbagai program akan dianjurkan termasuk pembudayaan bahasa dalam kalangan pelajar, aktiviti kesusasteraan, pertandingan seni bahasa serta program bersama komuniti bagi memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.
Dalam pada itu, Dr. Hazami menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan memerlukan sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Sarawak Maju Makmur.
“Sambutan ini diharap dapat menyuntik semangat rakyat untuk terus mencintai dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai asas perpaduan negara,” ujarnya.-EDISI UKAS