PAKK Serian Dekatkan Komuniti, Perkasa Pembangunan Sahsiah Kanak-kanak
SERIAN: Pasukan Pelindung Kanak-kanak (PPKK) Serian menganjurkan Program Hari Bersama Pelanggan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) bertemakan “Raikan Lebaran 2026” sebagai usaha memperkukuh hubungan komuniti setempat, khususnya melibatkan kanak-kanak dan ibu bapa dalam aktiviti pembangunan sahsiah serta pendidikan.
Pengerusi PPKK Serian, Melin Sunang berkata, penubuhan pusat berkenaan pada tahun ini bertujuan menyediakan ruang khas bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti kanak-kanak yang bersifat pendidikan, sosial dan rekreasi.
Menurut beliau, PAKK Serian menawarkan pelbagai program termasuk pertandingan lukisan, aktiviti kesukanan serta kelas tuisyen untuk kanak-kanak berumur bawah 18 tahun.
“Tempat ini diwujudkan khusus untuk aktiviti kanak-kanak. Kita mahu mereka mempunyai ruang untuk belajar, bergaul dan menimba pengalaman baharu,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa kelas tuisyen diadakan setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula dari pukul 2 petang hingga 5 petang, dengan susunan subjek secara berjadual mingguan merangkumi Matematik serta mata pelajaran lain mengikut keperluan pelajar.
Menariknya, tiada yuran dikenakan buat masa ini dan ibu bapa hanya perlu mendaftarkan anak-anak untuk menyertai program yang ditawarkan. Pihak pengurusan turut menyediakan tenaga pengajar serta penyelia bagi memastikan kebajikan dan pembelajaran pelajar sentiasa terpelihara.
Selain itu, PPKK Serian turut merancang pelbagai program bermusim seperti sambutan Hari Raya, Hari Gawai dan Hari Kanak-kanak bagi mengeratkan interaksi antara kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang.
“Program seperti ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak di pusat ini, tetapi juga terbuka kepada sekolah-sekolah berhampiran agar mereka dapat berinteraksi dan berkongsi pengalaman,” tambahnya.
PAKK Serian merupakan pusat pertama seumpamanya di daerah ini dan setakat ini telah menerima lebih 10 pendaftaran awal bagi kelas tuisyen, khususnya melibatkan murid Tahap Dua sekolah rendah.
Dengan pelbagai inisiatif yang dirancang, PAKK Serian diharap dapat menjadi platform penting dalam membentuk generasi muda yang seimbang dari segi akademik dan sosial di kawasan Serian. —EDISI UKAS