Bangladesh Cadang Meterai Kerjasama Dengan Sarawak Dalam Sektor Tenaga Kerja
KUCHING: Bangladesh bercadang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sarawak bagi pengambilan tenaga kerja, khususnya dalam sektor pembangunan negeri.
Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury berkata, cadangan tersebut dibincangkan dalam kunjungan hormat bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif.
"Dalam masa yang sama, kami turut membincangkan pengambilan pekerja Bangladesh, iaitu pekerja mahir dan pekerja am dalam pelbagai projek pembangunan di Sarawak, khususnya dalam sektor pembinaan dan bidang lain.
"Kami telah mencadangkan untuk memeterai satu MoU dengan Sarawak bagi tujuan pengambilan pekerja Bangladesh," katanya dalam sidang media selepas kunjungan hormat tersebut di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Manjurul Karim menambah, kunjungan tersebut turut membincangkan beberapa bidang untuk meningkatkan kerjasama seperti pertanian, pemprosesan agro, dan tenaga boleh diperbaharui.
Pihaknya juga mencadangkan MoU bagi kerjasama dalam bidang pertanian dan beberapa bidang lain.
Hadir sama, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Dato Fenny Nuli dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Mosammat Shahanara Monica. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim