RAYS 2026 Perkukuh Peranan Belia Dalam Kelestarian Global
KUCHING: Penganjuran Rainforest Youth Summit (RAYS) 2026 amat bertepatan dalam terus memperkukuh peranan belia sebagai pemacu utama dalam agenda kelestarian global, selaras dengan usaha membina masa depan yang inklusif, seimbang dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata RAYS 2026 menjadi medan penting dalam menghimpunkan suara belia dari pelbagai latar belakang bagi membincangkan isu berkaitan perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan mampan.
Menurut beliau, pendekatan yang menggabungkan pelbagai perspektif termasuk pengetahuan tradisional, sains moden, dasar awam dan inovasi belia amat penting dalam menangani cabaran global masa kini.
“Kelestarian tidak boleh digerakkan melalui satu pendekatan sahaja. Ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak merangkumi komuniti, kerajaan, industri dan generasi muda,” katanya ketika merasmikan majlis pembukaan RAYS 2026 di Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Sarawak sebagai tuan rumah menawarkan konteks unik kepada perbincangan kelestarian berikutan kekayaan biodiversiti serta komitmen berterusan dalam pemuliharaan alam sekitar.
Jelasnya, kira-kira 62 peratus kawasan negeri masih diliputi hutan, selain pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti kempen penanaman 100 juta pokok, pemuliharaan tanah gambut serta usaha pemulihan ekosistem.
RAYS 2026 menghimpunkan penyertaan belia dari seluruh Malaysia, rantau ASEAN dan antarabangsa, dengan pengisian merangkumi sesi dialog, bengkel, makmal pembelajaran serta forum khas seperti Planet Futures Forum yang memberi pendedahan kepada proses membuat keputusan berkaitan isu iklim.
Selain itu, deklarasi belia yang dihasilkan melalui sidang kemuncak ini dijangka menjadi rujukan penting kepada pihak berkepentingan dalam merangka dasar dan tindakan masa hadapan.
Dato Sri Abdul Karim berharap RAYS 2026 akan menjadi titik permulaan kepada jaringan kerjasama baharu, selain mencetuskan komitmen jangka panjang dalam kalangan belia untuk terus memacu perubahan.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak
Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS