Sarawak Perkasa Ekosistem Keusahawanan, Sasar 30,000 PMKS Digital Menjelang 2030
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan negeri menerusi penyelarasan strategik dan pemerkasaan pendigitalan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan daya saing dalam ekonomi global.
Susulan itu, satu Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) Bil. 1/2026 telah dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang memberi fokus kepada penyelarasan dasar, pengukuhan kerjasama antara agensi Persekutuan dan negeri serta pemerkasaan digitalisasi usahawan.
Menurut beliau, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak menyasarkan pendaftaran 10,000 usahawan baharu serta 30,000 PMKS mengguna pakai platform digital menjelang tahun 2030 sebagai langkah mempercepat transformasi ekonomi negeri.
“Sejak pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kerajaan negeri telah memperuntukkan RM365.7 juta bagi pembangunan PMKS, dengan lebih 47,400 usahawan telah mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan media, pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, turut memaklumkan bahawa PMKS kini menyumbang sekitar 18 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak, dan peranan sektor tersebut dijangka terus diperkukuh melalui pelaksanaan program pembangunan yang komprehensif.
Dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, PMKS diseru untuk meningkatkan kapasiti dan kapabiliti termasuk dalam aspek kemahiran, inovasi serta pengembangan pasaran.
Kerajaan telah merangka pelbagai inisiatif meliputi bantuan kewangan, pembangunan produk, pemasaran, serta penyediaan ekosistem kondusif seperti estet perindustrian dan premis perniagaan.
Selain sektor konvensional, PMKS juga digalakkan untuk menyertai rantaian bekalan dan nilai bersama pelabur asing (FDI) dan domestik (DDI), khususnya di kawasan taman dan estet perindustrian yang sedang pesat dibangunkan di Sarawak.
Dalam masa yang sama, usahawan turut digesa meneroka sektor ekonomi baharu seperti tenaga boleh baharu, aeroangkasa, digitalisasi dan keterjaminan makanan sebagai langkah memperluas peluang pertumbuhan.
Bagi memperkukuh penyelarasan pelaksanaan, Jawatankuasa Teknikal yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) akan memainkan peranan utama dalam memastikan setiap program memberi impak berkesan kepada kumpulan sasar.
Kerajaan Sarawak juga memperkenalkan ENBASE, sebuah platform digital sehenti bagi menyelaras data usahawan serta memudahkan akses kepada bantuan dan program pembangunan yang disediakan.
Selain itu, program Jom Regista Bisnes terus diperkasakan bagi menggalakkan pendaftaran perniagaan secara sah, khususnya dalam kalangan usahawan tidak formal.
Inisiatif ini membolehkan mereka mengakses pembiayaan, latihan, geran dan sokongan kerajaan, sekali gus meningkatkan kredibiliti serta daya saing perniagaan. -EDISI UKAS