DARO: Usaha memperkasa budaya ilmu dalam kalangan masyarakat terus dipergiat melalui Program Bicara Ilmu Malaysia MADANI Tahun 2026 yang berlangsung di Masjid Darul Ihsan, Kampung Lemang Pek, di sini pada Rabu.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak, sebagai usaha memberi penekanan terhadap kepentingan ilmu sebagai teras membentuk masyarakat yang harmoni, berdaya saing dan berakhlak.
Para hadirin berpeluang mengikuti ceramah mengenai ‘Budaya Ilmu Asas Hidup Bermasyarakat’ yang disampaikan oleh Ustaz Azizan Ajiji dari Jabatan Agama Islam Daerah Daro.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pengisian berteraskan ilmu bukan sahaja mampu meningkatkan kefahaman agama, malah membentuk masyarakat yang berfikiran matang, saling menghormati dan sentiasa berusaha memperbaiki diri demi kesejahteraan bersama.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk setempat untuk terus mengimarahkan institusi masjid melalui pelbagai aktiviti keilmuan seumpamanya, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir di program berkenaan ialah Penolong Pengarah JAKIM Sarawak Ustaz Muhammad Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Daro Ustaz Anas Sarip, Penghulu Jebeli Ngok, Penghulu Bahiri Selakong, Ketua Kampung Sarkawi Madi, serta Pengerusi Masjid Darul Ihsan, Kpg Lemang Pek Shahip Wahid. -EDISI UKAS