Penduduk Sageng Diminta Bersabar, Projek Tebatan Lindungi Kampung
SIMUNJAN: Penduduk Kampung Sageng Sabal diminta bersabar dengan gangguan sementara termasuk debu sepanjang pelaksanaan projek tebatan hakisan sungai bernilai kira-kira RM42 juta yang kini giat dijalankan bagi melindungi kawasan tersebut daripada ancaman hakisan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, projek berkenaan amat penting bagi memastikan keselamatan kawasan kampung dalam jangka panjang, walaupun pelaksanaannya menimbulkan sedikit ketidakselesaan kepada penduduk.
“Projek tebatan hakisan sungai ini amat penting bagi melindungi kampung daripada ancaman hakisan.
"Saya memohon penduduk agar bersabar dengan gangguan debu yang berlaku kerana projek ini dibina dengan struktur batu yang sangat kukuh dan tersusun bagi memastikan ketahanan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Sageng Sabal di sini, pada Rabu.
Menyentuh mengenai status projek jeti nelayan, Awla berkata walaupun peruntukan sebanyak RM2 juta telah tersedia, pelaksanaannya ditangguhkan sementara bagi mengelakkan pembinaan yang dilakukan terpaksa dirobohkan semula susulan kerja-kerja pembinaan benteng hakisan yang sedang berlangsung.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700,000 bagi tahun 2026 untuk menyiapkan rangkaian jalan lorong di seluruh Kampung Sageng.
Menurutnya, ketua kampung telah diarahkan supaya mengenal pasti serta memberi keutamaan kepada lorong-lorong yang berada dalam keadaan paling uzur untuk dibaik pulih terlebih dahulu.
“Saya telah mengarahkan ketua kampung supaya mengenal pasti lorong-lorong yang berada dalam keadaan paling teruk untuk diberikan keutamaan dalam kerja-kerja baik pulih,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga berkata, projek lampu jalan fasa ketiga dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat, di samping perancangan pembinaan pusat komuniti dan pagar konkrit yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesesuaian peruntukan.
Awla memberi jaminan bahawa usaha untuk menambah baik kemudahan serta memenuhi keperluan penduduk akan terus dipergiat dari semasa ke semasa selaras dengan kemampuan peruntukan yang ada.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap perpaduan dan semangat “sehati sejiwa” dalam kalangan penduduk yang menjadi tunjang kepada kelancaran setiap program komuniti serta pembangunan kampung.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Setiausaha JKKK Kampung Sageng Sabal Mohamad Dahari, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan Kr. Mohammad Zaini Morshidi serta Ahli Majlis Daerah Simunjan Kr. Rohaya Ben.-EDISI UKAS