Prihatin Nasib Rakyat, Ahli Parlimen Batang Sadong Bantu Keluarga Kampung Sageng
SIMUNJAN: Ujian siling runtuh yang menimpa sebuah keluarga di Kampung Sageng Tengah mendpat perhatian dan keprihatinan berterusan wakil rakyat dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee segera turun padang meninjau keadaan rumah milik Salleh Samail susulan kejadian yang menjejaskan keselamatan kediaman mereka.
Kehadiran beliau bukan sekadar meninjau, malah membawa sinar harapan kepada keluarga berkenaan apabila usaha mempercepatkan pembinaan semula rumah terus digerakkan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati struktur rumah tersebut tidak lagi selamat untuk diduduki dan memerlukan pembinaan baharu demi kesejahteraan penghuni.
“Keutamaan kita adalah memastikan keluarga ini dapat kembali menikmati kehidupan yang lebih selamat dan selesa. Tindakan segera sedang diambil agar bantuan dapat disalurkan tanpa berlengah,” katanya pada Rabu.
Sehubungan itu, permohonan di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah dikemukakan oleh Pejabat Daerah Simunjan dan kini dalam proses untuk dipercepatkan kelulusannya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kewangan sebagai bantuan awal bagi meringankan beban keluarga terbabit selain memberi sokongan moral dalam menghadapi situasi mencabar itu.-EDISI UKAS