Dewan Serbaguna Kampung Nusaraya Bakal Dinaik Taraf Tahun Ini
PADAWAN: Penduduk Kampung Nusaraya bakal menikmati kemudahan lebih selesa dan moden apabila projek naik taraf Dewan Serbaguna kampung berkenaan bernilai RM200,000 dijadualkan dilaksanakan tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Keron Mapus semasa mengadakan lawatan ke tapak projek pada Rabu bersama pihak Majlis Perbandaran Padawan (MPP) selaku agensi pelaksana projek tersebut.
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf melibatkan pembinaan pentas baharu, pemasangan sengkuap di bahagian kiri dan kanan dewan termasuk bahagian hadapan, serta pembinaan kawasan tempat letak kenderaan bagi kemudahan penduduk setempat.
“Projek ini merupakan antara inisiatif kerajaan dalam mempertingkatkan kemudahan infrastruktur luar bandar,” katanya.
Tambah beliau lagi, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat khususnya dalam penganjuran pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah wakil MPP, Ketua Kaum Kampung Nusaraya, K.K Iyip Tu-uh, Cr. Felix Ngui selaku Ahli MPP, Smith Apong, Exco PBB Cawangan Mambong serta barisan JKKK Kampung Nusaraya, Padawan.-EDISI UKAS