Pakan Bakal Berubah Wajah, RM105.5 Juta Disuntik Laksana Pembangunan Menyeluruh
PAKAN: Daerah Pakan bakal mengalami transformasi menyeluruh menerusi suntikan peruntukan berjumlah RM105.5 juta yang akan memacu pembangunan infrastruktur moden, memperindah landskap bandar serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi memenuhi keperluan semasa rakyat.
“Projek pembangunan berimpak tinggi ini merangkumi pelbagai elemen penting termasuk pembinaan dewan baharu, pembangunan tebingan sungai serta naik taraf rangkaian jalan raya dan kemudahan rekreasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat projek pembangunan RADDA bagi kawasan Pakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei pada Selasa.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan projek tersebut mengutamakan pengurusan peruntukan awam yang lebih cekap bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh komuniti setempat.
Katanya, komponen terbesar projek melibatkan pembinaan Dewan Sentral Pakan, Tebingan Sungai serta Dataran Tapak Pesta dengan nilai keseluruhan RM55.5 juta.
“Pembinaan dewan berkapasiti kira-kira 2,000 orang itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk ruang parkir yang mencukupi serta kemudahan khas untuk bas,” ujarnya.
Dalam pada itu, pembangunan taman dan kawasan tebingan sungai turut diberi perhatian bagi mewujudkan persekitaran yang lebih menarik serta menyediakan ruang riadah kepada penduduk dan pengunjung.
Tambahnya, usaha tersebut selari dengan aspirasi masyarakat yang mahu melihat Pakan berkembang maju seiring kawasan lain, khususnya dalam memenuhi keperluan jangka panjang generasi muda masa kini.
Selain itu, menurut Tan Sri William Mawan, sebanyak RM50 juta lagi diperuntukkan bagi melaksanakan lima projek tambahan termasuk pembinaan jalan raya yang akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan kos RM10 juta bagi fasa pertama.
Beliau memaklumkan bahawa projek tersebut kini berada pada peringkat persediaan teknikal dan dijangka dimulakan dalam masa terdekat, dengan pelaksanaan akan mematuhi prosedur lebih ketat bagi menjamin ketelusan serta akauntabiliti penggunaan dana awam.
“Walaupun terdapat sedikit kelewatan sekitar dua hingga tiga minggu, keseluruhan pelaksanaan projek tersebut masih berjalan mengikut perancangan dan dijangka dimulakan dalam masa terdekat,” tambah beliau lagi.
Hadir sama, Pegawai Pentadbiran Khas RADDA, Kelana Kipli dan Pegawai Daerah Pakan, Mohd Irwan Abdullah @ William Manggoi. -EDISI UKAS