54 Ketua Jaringan Perikanan Wilayah Utara Terima Watikan Pelantikan
MIRI: Seramai 54 Ketua Jaringan Perikanan (KJP) bagi Wilayah III, Miri menerima watikah pelantikan bagi tempoh 2026 hingga 2029 dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Imperial Palace di sini.
Majlis pelantikan yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, Sarawak itu disempurnakan oleh Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab.
Menurut beliau, pelantikan KJP bukan sekadar satu pengiktirafan rasmi, sebaliknya merupakan amanah besar dalam memperkukuh pembangunan sektor perikanan, khususnya di peringkat akar umbi.
“Dalam konteks Sarawak yang mempunyai keluasan geografi dan cabaran logistik yang unik, kehadiran KJP amat penting sebagai penghubung utama antara jabatan dan komuniti nelayan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut pada Rabu.
Beliau menambah, pelantikan ini merupakan kesinambungan siri pelaksanaan di seluruh Sarawak selepas Wilayah II di Sibu dan akan diteruskan ke Wilayah I di Kuching.
Pelantikan berkenaan melibatkan kawasan Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas sekali gus membentuk rangkaian strategik dalam penyampaian maklumat, dasar serta bantuan kerajaan kepada komuniti perikanan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa peranan KJP kini lebih dinamik selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan dan kesejahteraan komuniti.
“KJP bukan sahaja penyampai maklumat, tetapi juga pemudah cara program serta saluran maklum balas bagi isu-isu di lapangan,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 telah memperuntukkan sebanyak RM21.516 juta khusus untuk Sarawak bagi memperkukuh infrastruktur serta pembangunan sektor perikanan.
Sepanjang program tersebut, peserta turut didedahkan dengan pelbagai input melalui taklimat daripada agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), merangkumi aspek pengurusan sumber, pematuhan undang-undang serta keselamatan di laut.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Wilayah Perikanan III, Miri, Muhammad Saini Suliansa serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Perikanan Malaysia.-EDISI UKAS