Program ‘Outreach’ Perkhidmatan Mesra Remaja Perkasa Kesedaran Kesihatan Pelajar Di Miri
MIRI: Program Outreach Perkhidmatan Mesra Remaja anjuran Klinik Kesihatan Bandaraya Miri dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja berkaitan tingkah laku berisiko serta isu kesihatan seksual dan reproduktif.
Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Miri itu melibatkan seramai 150 pelajar Tingkatan Satu dan dirasmikan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Miri, Dr. P. Raviwharmman Packierisamy.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendedahan awal kepada remaja berhubung isu kesihatan seksual dan reproduktif termasuk kehamilan remaja serta implikasinya terhadap kesihatan, pendidikan dan masa depan.
“Remaja perlu diberi pengetahuan yang tepat dan menyeluruh agar mereka mampu membuat keputusan yang bijak serta bertanggungjawab dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Beliau turut mengetengahkan mesej utama program iaitu “Kenali Diri, Jaga Sempadan, Bina Masa Depan” sebagai panduan kepada golongan remaja dalam membentuk jati diri dan mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala tidak sihat.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan merangkumi topik tingkah laku berbahaya, kesihatan seksual dan reproduktif, isu ‘sexual grooming’ serta pembentukan cara pemikiran yang sihat.
Selain itu, program ini turut melibatkan pelaksanaan saringan menggunakan instrumen Bimbingan Saringan Sosial Kanak-kanak dan Remaja (BSSK) bagi mengenal pasti pelajar yang berisiko dan memerlukan intervensi awal.
Turut hadir Pengetua SMK Baru Miri, Wong Kung Kui serta Ketua Pakar Perubatan Keluarga Bahagian Miri, Dr Maurice Steve Utap.
Pejabat Kesihatan Bahagian Miri berharap program seumpama ini dapat menjadi platform efektif dalam memperkasakan remaja dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran membuat keputusan yang bijak, sekali gus membantu mencegah isu sosial dan kesihatan dalam kalangan remaja di daerah ini.-EDISI UKAS