Triple F Tambirat Rancakkan Ekonomi Komuniti Asajaya
ASAJAYA: Penganjuran Program Triple F (Fun, Food, Fest) di Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Tambirat menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi peniaga tempatan sekali gus merancakkan suasana komuniti di kawasan Asajaya.
Program julung kali itu telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program seumpama itu bukan sekadar platform hiburan, malah membuka ruang kepada peniaga tempatan memperluas rangkaian perniagaan serta meningkatkan daya saing dalam pasaran semasa.
“Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada produk semata-mata. Peniaga perlu bijak memanfaatkan media sosial serta peka terhadap trend makanan ‘viral’ bagi menarik pelanggan dan meningkatkan pendapatan,” katanya pada Rabu.
Beliau turut mengingatkan penganjur dan peniaga agar sentiasa mematuhi prosedur ditetapkan, menjaga sensitiviti masyarakat setempat serta memastikan aspek kebersihan dan keselamatan kawasan perniagaan berada pada tahap terbaik.
Program yang berlangsung dari 15 hingga 19 April 2026 itu menghimpunkan kira-kira 40 peniaga dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan pelbagai pengisian menarik seperti pertandingan karaoke, busana kanak-kanak, tarikan Rumah Hantu serta persembahan artis jemputan.
Antara artis yang memeriahkan program tersebut ialah Rizal AF, Sheeda Dangdut dan kumpulan Iklim.
Turut hadir ialah penganjur program, Teruna Julai dan Abang Mol Dirim, Penghulu Tambirat, Penghulu Tamil Mohammad, wakil Pengerusi Pusat Penjaja MPKS Tambirat, Nor Atikah, barisan Ahli Majlis MPKS serta ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS