MIRI: Pusat Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Sibu dicadangkan untuk dinaik taraf bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, cadangan tersebut mengambil kira kekerapan kawasan tersebut berdepan risiko bencana.
Menurut beliau, peranan APM amat signifikan dalam membantu masyarakat ketika berlakunya bencana seperti banjir dan kebakaran, justeru usaha menaik taraf pusat operasi serta kemudahan sedia ada perlu diberi perhatian bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan terus diperkasa.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Miri, APM pada Khamis.
Katanya, lawatan itu menjadi platform menilai tahap kesiapsiagaan agensi itu dalam menghadapi bencana di negeri ini.
Tegasnya, komitmen dan dedikasi ditunjukkan APM Sarawak dalam melaksanakan operasi menyelamat, termasuk di kawasan pedalaman, mencerminkan peranan penting agensi tersebut dalam memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.
“Pendekatan APM yang berusaha menyelamatkan setiap nyawa tanpa mengira lokasi amat membanggakan, kerana setiap individu yang diselamatkan berpotensi menjadi aset penting kepada negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menggesa penglibatan lebih ramai sukarelawan dan pelaksanaan kursus kesedaran kepada masyarakat, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
“Program latihan dan kesedaran ini penting supaya penduduk kampung dapat mengambil tindakan awal secara asas ketika berlakunya bencana sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat,” jelasnya.
Mengulas cabaran di Sabah dan Sarawak, beliau menegaskan keluasan geografi serta kekangan infrastruktur menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi keberkesanan operasi, namun usaha berterusan sedang dilaksanakan untuk memaksimumkan penggunaan aset sedia ada di samping memohon penambahan aset baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan kepentingan subsidi bahan api diesel kepada rakyat di kedua-dua negeri tersebut bagi memudahkan akses ke kawasan pedalaman yang memerlukan penggunaan kenderaan pacuan empat roda, sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI atas komitmen berterusan tersebut.
Ketibaan beliau pada jam 8 pagi disambut oleh Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak, YS TPj. (PA) Mohtar Samat serta Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Mej (PA) Bonnie Madisun, sebelum menghadiri sesi taklimat mengenai operasi dan cabaran semasa yang dihadapi APM Sarawak, khususnya dalam pengurusan bencana. -EDISI UKAS