SKAS, Diskaun Bil Elektrik dan Sewa Premis Bantu Rakyat Hadapi Kos Sara Hidup
KUCHING: Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkenalkan beberapa bantuan khas bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup susulan konflik berpanjangan di Timur Tengah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, antara langkah yang diperkenalkan termasuk peningkatan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), pemberian diskaun bil elektrik serta diskaun sewaan premis perniagaan milik Pihak Berkuasa Tempatan.
Beliau berkata, kadar SKAS bagi tahun 2026 dinaikkan daripada RM950 kepada RM1,100 untuk isi rumah, RM500 kepada RM600 bagi warga emas dan RM300 kepada RM375 untuk individu bujang yang layak.
“Dijangka hampir 900,000 penerima yang layak akan menerima bantuan ini berdasarkan data penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Tahun 2026.
“Penyaluran bantuan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tiga fasa sepanjang tahun 2026 yang mana fasa pertama telah mula disalurkan pada Mac 2026, diikuti fasa kedua dijadual pada Mei 2026 manakala fasa ketiga pada November 2026.
“Kenaikan kadar ini akan melibatkan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM136.2 juta,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersama barisan Kabinet Kerajaan Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, keseluruhan peruntukan kewangan 2026 Kerajaan Sarawak bagi pelaksanaan SKAS pada tahun ini berjumlah RM680 juta daripada jumlah asal RM543.8 juta.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Sarawak berkata, kerajaan negeri turut memberikan diskaun 25 peratus bagi bil elektrik pengguna domestik bermula April hingga Disember 2026, yang dijangka memanfaatkan lebih 700,000 pengguna di seluruh negeri.
Bagi membantu peniaga kecil, diskaun 50 peratus turut diberikan ke atas sewaan pasar dan gerai milik pihak berkuasa tempatan serta premis perniagaan di bawah badan berkanun negeri yang dianggar melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM8.1 juta.
Turut hadir semasa sidang media tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie