Surau Al Fajr Siap Sepenuhnya, Tingkat Kemudahan dan Keselesaan Penduduk Kampung Pagan
SARATOK: Kewujudan Surau Al Fajr, di sini, yang siap sepenuhnya tahun ini membawa sinar baharu kepada penduduk Kampung Pagan apabila ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah menjadi pusat aktiviti komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri berkata, kemudahan yang lebih lengkap dan selesa itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta mengimarahkan aktiviti keagamaan.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Aidilfitri 1447H/2026M anjuran Jawatankuasa Surau Kampung Pagan Saratok yang berlangsung di Surau Al Fajr, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, pembinaan surau tersebut telah dilaksanakan secara berperingkat dengan kos keseluruhan berjumlah RM700,000, hasil usaha berterusan pelbagai pihak bagi memenuhi keperluan penduduk.
Dalam pada itu, Mohamad turut mencadangkan agar ruang solat di Surau Al Fajr diperluaskan bagi menampung kehadiran jemaah yang semakin meningkat.
Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa perancangan projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan tersebut pada tahun ini bagi meningkatkan lagi kemudahan serta kesejahteraan komuniti setempat.-EDISI UKAS