STEM Pemacu Masa Depan, Beri Lebih Banyak Peluang Kepada Pelajar Luar Bandar
DARO: Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) terus diangkat sebagai antara pemacu utama pembangunan masa hadapan negeri dan negara, sekali gus memerlukan usaha berterusan bagi memastikan lebih ramai pelajar, khususnya di kawasan luar bandar mendapat pendedahan sewajarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang tersebut bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah menyokong aspirasi Sarawak ke arah ekonomi digital dan teknologi tinggi.
“Kerajaan Sarawak komited untuk memperkasa sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif, termasuk penyediaan kemudahan pembelajaran yang lengkap serta pelaksanaan program berimpak tinggi seperti STEM Catalysts bagi melahirkan generasi masa depan yang kompeten dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Program STEM Catalysts 2026 yang berlangsung di Dewan Terbuka, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah, di sini, pada Khamis.
Program anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dengan kerjasama Universiti Teknologi Sarawak (UTS) serta pihak sekolah itu bertujuan meningkatkan kesedaran, motivasi dan minat pelajar untuk menceburi bidang STEM.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur pendidikan di kawasan Daro menerusi pelaksanaan projek pembinaan bangunan tambahan di sekolah berkenaan.
Menurutnya, projek bernilai RM31.51 juta tersebut telah bermula pada 13 Mac 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 Mac 2028.
Projek berkenaan merangkumi pembinaan blok makmal, bilik darjah, bengkel Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik khas, dewan serbaguna, kerja-kerja naik taraf padang, penambahan parkir serta penyediaan perabot dan kelengkapan mengikut piawaian semasa.
Dalam majlis sama, Dr. Safiee turut menyempurnakan penyerahan beberapa projek siap di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang melibatkan beberapa komponen penting di sekolah itu.
Antaranya ialah projek naiktaraf dewan sekolah bernilai RM150,000, naiktaraf surau bernilai RM200,000 serta kerja baik pulih Jalan Susur Gajah dengan kos RM70,000 yang secara keseluruhannya memberi manfaat langsung kepada warga sekolah dan komuniti setempat.
Selain itu, beliau turut mengumumkan satu lagi peruntukan RTP berjumlah RM100,000 bagi kerja sambungan baik pulih Jalan Susur Gajah yang akan dilaksanakan pada tahun ini, sebagai usaha berterusan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan tersebut.
Dalam usaha memperkukuh penglibatan komuniti dalam pendidikan, Dr. Safiee turut menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM36,000 kepada enam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah di kawasan tanah besar Daro, dengan setiap PIBG menerima RM6,000.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengetua SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah Pauline Charles Lemi, Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Michelle Lim Chia Wun, Penolong Setiausaha MEITD Wong Li Ching, Pegawai Penyelidik MEITD Dr. Faustina Sangok, Pensyarah UTS merangkap Pengerusi Bersama STEM Catalysts 2026 Dr. Elton Wong Kee Sheng serta Pegawai SISC+ Pejabat Pendidikan Daerah Daro Zulfadli Seddek.-EDISI UKAS