Kejohanan Muay Thai Piala TYT Sarawak & Piala Borneo 2026 Tarik Penyertaan Antarabangsa
KUCHING: Kejohanan Muay Thai Piala TYT Sarawak dan Piala Borneo 2026 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform sukan tempur berprestij apabila berjaya menarik penyertaan seramai 350 atlet dari dalam dan luar negara.
Kejohanan edisi ke-10 itu menyaksikan penyertaan melibatkan 31 pasukan dari seluruh Malaysia termasuk Sarawak, Sabah dan Semenanjung, serta penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei.
Mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata penganjuran berterusan kejohanan ini membuktikan Sarawak semakin dikenali di pentas dunia sebagai hab pembangunan sukan muay thai.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan yang diterima pada tahun lalu mendorong penganjur, Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak (PMNS) untuk meneruskan penganjuran pada tahun ini dengan skala lebih besar termasuk peningkatan penyertaan.
“Penyertaan daripada pelbagai negara khususnya rantau Asia Tenggara membuktikan kejohanan ini semakin mendapat tempat dan secara tidak langsung mengangkat nama Sarawak di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Tebingan Sungai Kuching pada Khamis.
Beliau menambah, kehadiran atlet muda bersama keluarga dan pasukan masing-masing turut memberi limpahan ekonomi kepada negeri, khususnya sektor pelancongan dan perkhidmatan di Kuching.
Dalam masa sama jelasnya, kejohanan ini dilihat sebagai platform penting dalam mencungkil bakat baharu sukan muay thai, sekali gus melahirkan atlet berpotensi yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 19 April itu menyaksikan pelbagai kategori dipertandingkan termasuk perlawanan amatur, separa profesional dan profesional, selain pengenalan acara baharu bagi memeriahkan lagi penganjuran.
Acara kemuncak pada hari terakhir bakal menyaksikan penentuan juara keseluruhan bagi Piala TYT Sarawak dan Piala Borneo 2026 berdasarkan pungutan pingat tertinggi oleh pasukan yang bertanding.
Kejohanan ini dianjurkan oleh PMNS dengan sokongan pelbagai agensi termasuk kementerian berkaitan, pihak berkuasa tempatan serta badan sukan negeri dan kebangsaan.
Penganjuran berterusan kejohanan ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan sukan tempur di Sarawak, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan negeri melalui penganjuran acara bertaraf antarabangsa.
Hadir sama Presiden PMNS Jumaat Ibrahim, serta wakil dari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan tetamu lain. -EDISI UKAS