Sarawak Kurangkan Kebergantungan Diesel Melalui Pembinaan Infrastruktur, Tenaga Alternatif
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan diesel melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur serta inisiatif tenaga alternatif di seluruh negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, langkah proaktif tersebut amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada harga minyak global dan kos sara hidup.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme (SARES) telah berjaya menyediakan bekalan elektrik 24 jam kepada penduduk di kawasan pedalaman menerusi penggunaan tenaga solar.
“Penduduk tidak perlu memikirkan kos bahan api diesel yang tinggi dan tidak menentu sebab kita telah menukar dari enam tahun yang lepas daripada diesel generator kepada solar. Jadi kita tidak tertekan dengan harga diesel yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bersama barisan Kabinet Kerajaan Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut menegaskan bahawa pembinaan jambatan tanpa tol bagi menggantikan perkhidmatan feri di beberapa lokasi di Sarawak merupakan langkah strategik kerajaan dalam mengurangkan penggunaan diesel.
“Dengan siapnya enam buah jambatan setakat ini dan empat lagi jambatan yang bakal menyusul tahun ini, penjimatan jutaan ringgit hasil pemberhentian penggunaan feri, dan sudah tentunya penggunaan diesel, dapat disalurkan balik kepada rakyat,” ujarnya.
Turut hadir semasa sidang media tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: George S. Embie