Pendidikan percuma 2026 buka peluang lebih luas kepada pelajar SPM cemerlang
SIBU: Pelaksanaan skim pendidikan tinggi percuma oleh Kerajaan Sarawak bermula 2026 bakal membuka peluang lebih luas kepada pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata dasar tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih saksama kepada golongan belia.
Menurutnya, pelajar yang melanjutkan pengajian di empat universiti dalam negeri akan menikmati pembiayaan penuh yuran pengajian termasuk dalam bidang utama seperti perubatan, undang-undang dan STEM.
“Saya menggalakkan anda semua untuk merebut peluang ini, mengejar impian dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian insentif kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist pada Selasa.
Pada majlis tersebut, seramai 123 pelajar yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam SPM 2025 menerima insentif dengan jumlah keseluruhan RM44,100.
Dalam pada itu, Joseph Chieng menegaskan bahawa pendidikan merupakan alat paling berkuasa dalam mengubah kehidupan serta asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif.
Tambahnya, pemberian insentif bukan sekadar ganjaran kewangan, tetapi simbol pengiktirafan, dorongan dan keyakinan terhadap potensi masa depan pelajar.
Beliau turut memaklumkan bahawa program insentif kecemerlangan akademik tersebut kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya, melibatkan empat sekolah menengah di kawasan Bukit Assek iaitu SMK Methodist, SMK Sacred Heart, SMK Bukit Assek dan Catholic High School.
Katanya, inisiatif tersebut merangkumi pencapaian dalam peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Unified Examination Certificate (UEC).-EDISI UKAS