Pegawai Protokol Sarawak Perlu Kuasai Tatacara Pengurusan Majlis Rasmi
KUCHING: Pegawai protokol Sarawak perlu menguasai tatacara, susunan keutamaan dan penyelarasan majlis rasmi bagi memastikan setiap acara kerajaan dikendalikan secara teratur dan profesional.
Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara (UPPAN) Sarawak, Datu Hamdan Sharbini berkata, tugas pegawai protokol bukan sahaja melibatkan kelancaran sesuatu majlis, malah memerlukan ketelitian serta kebijaksanaan dalam menangani situasi yang timbul.
“Penguasaan aspek susunan tempat duduk, hierarki keutamaan, adat istiadat dan etika majlis penting bagi memastikan setiap urusan rasmi mematuhi tatacara yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Pembangunan dan Pemantapan: Kompetensi Pegawai Protokol dan Pegawai Perhubungan Sarawak (SPLO) 2026 di sini, pada Isnin.
Menurutnya lagi, keperluan itu turut diberi perhatian menjelang penganjuran acara antarabangsa seperti Sukan SEA yang memerlukan penyelarasan protokol melibatkan delegasi dari pelbagai negara.
Peserta turut mengikuti simulasi pengurusan tetamu kenamaan yang melibatkan penyelarasan tempat duduk, peranan pegawai pengiring serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku perubahan kehadiran tetamu utama atau susunan keutamaan.
Datu Hamdan berkata, latihan berterusan dalam aspek protokol, komunikasi dan penyelarasan acara penting bagi memastikan pegawai mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan majlis rasmi. -EDISI UKAS