SoftBank, Grab dan PETROS Rancang Pelaburan RM4.07 Bilion untuk Infrastruktur AI Sarawak
KUCHING: SoftBank Group Corp. (SoftBank), Grab Holdings Limited (Grab) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) merancang pelaburan awal berjumlah US$1 bilion (kira-kira RM4.07 bilion) bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Sarawak.
Pembangunan itu menyasarkan kapasiti pengkomputeran AI sehingga lima gigawatt dalam jangka panjang, selain meneroka peluang dalam bidang teknologi termaju, robotik, perkhidmatan AI serta pembangunan tenaga kerja dan komuniti tempatan.
Menurut kenyataan media bersama ketiga-tiga syarikat pada Isnin, kerjasama itu memasuki fasa pembangunan bersama menerusi pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA), susulan Perjanjian Kerangka yang ditandatangani di Kuching pada 8 Oktober lalu.
Daripada jumlah modal permulaan yang dicadangkan, SoftBank akan menyumbang US$800 juta, manakala Grab dan PETROS masing-masing US$100 juta.
Pelaburan itu akan disalurkan secara berperingkat, tertakluk kepada pencapaian sasaran pembangunan, kontrak pelanggan dan syarat penyempurnaan yang diperlukan.
Menerusi kerjasama tersebut, SoftBank akan menerajui pembangunan projek dan memegang kepentingan majoriti, manakala Grab dan PETROS bertindak sebagai rakan strategik dengan menyumbangkan kepakaran dalam teknologi AI, perkhidmatan digital, tenaga dan pembangunan infrastruktur.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha mempersiapkan Sarawak menghadapi fasa transformasi ekonomi seterusnya, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan industri baharu, inovasi dan pekerjaan bernilai tinggi.
“Dengan membawa keupayaan AI dan pengkomputeran termaju lebih dekat kepada perniagaan, industri, dan bakat tempatan kita, kita dapat memperkukuh keupayaan mereka, meningkatkan daya saing, serta membolehkan penyertaan yang lebih luas dalam ekonomi digital,” katanya.
Sehubungan itu, PETROS akan menyumbangkan kepakaran dalam pembangunan tenaga dan infrastruktur menerusi peranannya memajukan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta sebagai Pembangun Induk Hab Rendah Karbon Kuching.
Bagi menyokong pembangunan dan peluasan projek dalam jangka panjang, ketiga-tiga syarikat turut akan meneroka peluang mendapatkan pelabur tambahan serta pelanggan penyedia perkhidmatan awan berskala besar.
Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan itu dijangka menjadi antara infrastruktur AI terbesar seumpamanya di Asia, sekali gus menyediakan akses kepada keupayaan pengkomputeran termaju untuk kerajaan, syarikat multinasional dan perusahaan kecil.
Projek berkenaan akan dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, selaras dengan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 (AI Nation 2030) serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.-EDISI UKAS