UNIONS Integrity 360 Perkukuh Integriti, Profesionalisme & Kesejahteraan Warga Kerja
SEMATAN: Pembudayaan integriti, pemantapan profesionalisme dan keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan berkeluarga menjadi fokus utama penganjuran UNIONS Integrity 360: Program Pemantapan Integriti, Tatakerja dan Kesejahteraan Keluarga yang berlangsung di Roxy Beach Resort, Sematan dari 6 hingga 8 November lalu.
Program anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak itu menghimpunkan warga kerja bersama ahli keluarga bagi memperkukuh budaya kerja berintegriti, meningkatkan disiplin serta memupuk semangat kerjasama dan keharmonian dalam organisasi.
Antara pengisian utama program selama tiga hari itu ialah taklimat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta sesi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai manifestasi komitmen warga UNIONS terhadap amalan tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.
Sesi ikrar tersebut diketuai Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Wan Mohamad Wan Drahman dan disaksikan wakil SPRM Cawangan Sarawak, Penolong Pesuruhjaya Mardiana Han.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi merupakan hasil komitmen dan kerjasama setiap warga kerja tanpa mengira peranan atau tanggungjawab masing-masing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pegawai dan kakitangan UNIONS atas dedikasi, pengorbanan serta usaha berterusan dalam menjayakan pelbagai inisiatif jabatan sepanjang tahun.
Menurut beliau, setiap sumbangan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran organisasi, justeru budaya saling menghargai dan semangat kebersamaan perlu terus diperkukuh.
Beliau menyampaikan amanat tersebut sempena Majlis Apresiasi UNIONS yang turut menyaksikan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Kualiti Pegawai UNIONS (AKP) sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang serta komitmen warga organisasi.
Selain pengisian berkaitan integriti, program berkenaan turut menampilkan aktiviti pembinaan pasukan, pembangunan diri, kecergasan fizikal dan pengukuhan hubungan kekeluargaan.
Antaranya termasuk aktiviti Team Bonding, pemahaman temperamen, Walk For Wellness serta Program Sihat Bersama, Harmoni Bersama yang menekankan kepentingan kesejahteraan fizikal dan keharmonian diri.
Penganjuran UNIONS Integrity 360 mencerminkan usaha berterusan jabatan dalam membentuk warga perkhidmatan awam yang bukan sahaja berintegriti dan profesional, malah memiliki keseimbangan kehidupan serta semangat kerja berpasukan yang tinggi.-EDISI UKAS