Klinik Kesihatan Nanga Atoi Tingkatkan Akses Rawatan Penduduk Pedalaman Krian
SARATOK: Pembinaan Klinik Kesihatan Nanga Atoi dijangka meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan kesihatan bagi penduduk pedalaman, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata pembinaan fasiliti kesihatan tersebut merupakan tambahan penting dalam usaha memastikan masyarakat luar bandar mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah, selesa dan berkualiti.
“Kini terdapat tiga klinik kesihatan di bawah DUN Krian iaitu di Nanga Budu, Nanga Atoi dan Roban.
“Kemudahan ini membolehkan masyarakat setempat mendapatkan rawatan dengan lebih cepat serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Projek Siap Klinik Kesihatan Nanga Atoi di Klinik Kesihatan Nanga Atoi, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, pembinaan klinik tersebut yang menelan kos RM5.6 juta merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi menaik taraf kemudahan kesihatan sedia ada di kawasan berkenaan.
Projek tersebut bermula dengan tarikh milik tapak pada 2 Ogos 2024 dan mengambil tempoh pelaksanaan selama 14 bulan sebelum siap sepenuhnya pada 7 November 2025.
Friday turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia atas kelulusan projek berkenaan yang disifatkan mampu mewujudkan ekosistem kesihatan yang lebih baik kepada masyarakat sekitar Nanga Atoi.
“Pembangunan dan penambahbaikan kemudahan ini amat bermakna kerana bukan sahaja memberi keselesaan kepada masyarakat, malah turut meningkatkan keselesaan kepada petugas serta kakitangan kesihatan yang berkhidmat di sini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar pihak KKM dapat mempertimbangkan penambahan bilangan doktor dan kakitangan kesihatan bagi memperkukuh lagi mutu serta kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan tersebut.
Klinik Kesihatan Nanga Atoi yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Bandar Betong ini dibina dengan beberapa kemudahan baharu termasuk satu blok Klinik Kesihatan Jenis 7 (Tulip), satu blok kuarters jenis F, rumah pam dan elektrik serta rumah sisa.
Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan kerja mekanikal dan elektrikal serta kerja luaran seperti kerja tanah, pembinaan tembok penahan, sistem perparitan, lantai konkrit, jalan premix, kawasan parkir serta pemasangan pagar jenis ‘chain-link’.
Dengan siapnya projek tersebut, penduduk di kawasan Nanga Atoi dan sekitarnya kini dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih moden dan selesa sekali gus meningkatkan tahap kesihatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.-EDISI UKAS