Rakyat Sarawak Diseru Hargai Status ‘K’, Terus Sokong Agenda Pembangunan Negeri
MERADONG: Rakyat Sarawak diseru agar terus menghargai keistimewaan memiliki status ‘K’ dalam MyKad serta memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Sarawak bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata keistimewaan tersebut perlu dipelihara kerana kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan pelbagai kemudahan serta melaksanakan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan serta melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat yang memiliki status ‘K’ dalam MyKad.
“Sokongan berterusan daripada rakyat amat penting supaya setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar di seluruh pelosok negeri,” katanya semasa Lawatan Pra Gawai Hari Ketiga DUN Meradong Tahun 2026 di Rumah Panjang kawasan Ulu Stras, Bintangor, pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang merangkumi semua peringkat umur, daripada golongan muda hinggalah kepada warga emas.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada beliau untuk bertemu serta berinteraksi secara langsung dengan penduduk setempat selain mendengar sendiri keperluan dan permasalahan yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.
Dalam sesi lawatan itu, beliau turut meninjau keadaan infrastruktur asas seperti jalan kampung, bekalan air bersih, elektrik serta kemudahan awam lain yang menjadi keperluan utama penduduk rumah panjang.
Dalam pada itu, Datuk Ding turut menyeru rakyat Sarawak agar terus memelihara keharmonian serta memperkukuh perpaduan antara kaum yang telah sekian lama menjadi asas kekuatan negeri ini.
Menurutnya, keunikan Sarawak terserlah apabila setiap kali musim perayaan seperti Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas diraikan bersama oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam suasana penuh muhibah serta saling menghormati.-EDISI UKAS