Pengorbanan PGA Benteng Keamanan, Perpaduan Sarawak Terus Diperkukuh
MIRI: Pengorbanan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas tanpa mengira masa terus menjadi benteng utama kepada keamanan negeri, sekali gus memastikan perpaduan masyarakat Sarawak kekal utuh.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, komitmen tinggi anggota keselamatan khususnya ketika musim perayaan membolehkan rakyat menyambut Aidilfitri dalam suasana aman dan harmoni.
Menurut beliau, dedikasi tersebut bukan sahaja mencerminkan profesionalisme pasukan keselamatan, malah menjadi asas penting kepada kestabilan serta kemajuan berterusan negeri.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Batalion 12 PGA Miri di Dewan Johnny Mustapha, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keamanan dan keharmonian yang dinikmati hari ini perlu terus dipelihara, dengan Sarawak kekal sebagai contoh negeri yang berjaya mengekalkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak komited membantu rakyat menangani kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif kebajikan yang dilaksanakan secara berterusan.
Antaranya termasuk pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus kepada pengguna domestik di seluruh negeri sehingga Disember 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 700,000 pengguna.
Selain itu, peningkatan kadar Bantuan SKAS turut dilaksanakan sebagai langkah memperkukuh sokongan kepada golongan memerlukan dalam menghadapi tekanan ekonomi semasa.
Langkah tersebut mencerminkan pendekatan proaktif kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, selari dengan usaha memperkukuh ekonomi digital dan pembangunan tenaga hijau ke arah negeri berpendapatan tinggi.
Majlis tersebut berlangsung dalam suasana penuh muhibah, sekali gus menjadi simbol penghargaan terhadap jasa anggota keselamatan serta memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan dan komuniti setempat. - EDISI UKAS