Kerjasama Sarawak–Persekutuan Diperkukuh Percepat Pelaksanaan Projek Pembangunan
PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Perkara itu dizahirkan menerusi satu mesyuarat strategik yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel bersama Timbalan Ketua Pengarah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali, di sini, pada Jumaat.
Dato Sri Muhammad Abdullah menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi Persekutuan dalam memastikan setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan projek pembangunan,” katanya.
Mesyuarat tersebut bertujuan memperkukuh penyelarasan antara kedua-dua pihak bagi memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan berjalan lancar, teratur serta memberi impak maksimum kepada rakyat.
Dalam sesi perbincangan, pelbagai isu berkaitan status kemajuan projek, cabaran pelaksanaan serta keperluan penambahbaikan mekanisme pemantauan telah dibincangkan secara terperinci.
Antara fokus utama termasuk mempercepat proses kelulusan, meningkatkan kecekapan penyampaian projek, serta memastikan peruntukan yang disalurkan dimanfaatkan sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan.
Sementara itu, pihak ICU JPM turut menyatakan komitmen berterusan dalam menyokong usaha Kerajaan Sarawak melalui pemantauan rapi serta penambahbaikan berterusan terhadap proses pelaksanaan projek.
Mesyuarat ini mencerminkan komitmen dan sinergi bersama kedua-dua pihak dalam memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif, mampan dan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Sarawak.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak serta Pengarah Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Sarawak.-EDISI UKAS