Masjid Daerah Kecil Debak Kini Dinamakan Masjid Al-Azim
BETONG: Masjid Daerah Kecil Debak yang baharu kini dinamakan sebagai Masjid Al-Azim.
Simbolik pemasyuran nama masjid itu telah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa merasmikan masjid baharu tersebut pada Jumaat.
"Saya ini dengan ikhlasnya merasmikan Masjid Al-Azim, Debak, Betong," katanya.
Masjid tersebut dibina di atas tapak tanah berkeluasan 2.98 ekar dan telah menelan belanja sebanyak RM12 juta melalui dana khas Sarawak (SDAF) Premier Sarawak.
Pelaksanaan projek ini merupakan hasil inisiatif serta usaha Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam.
Projek pembinaan masjid ini telah dilaksanakan oleh Majlis Islam Sarawak bermula 20 Disember 2023 dan siap sepenuhnya pada 25 November 2025.
Masjid Al-Azim kini berperanan sebagai pisat ibadah yang selesa di samping menjadi pemangkin kepada pengukuhan ukhuwah serta pembangunan ummah daerah kecil Debak.
Terdahulu, Premier Sarawak bersama dif kenamaan lain turut bersama-sama dengan umat Islam kawasan tersebut menunaikan Solat Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery