Projek Penanaman Kelapa Di Lubok Tamang Agropark Bakal Tingkatkan Pendapatan Masyarakat Setempat
BETONG: Projek penanaman kelapa di Lubok Tamang Agropark bakal meningkatkan pendapatan masyarakat setempat khususnya di kawasan Debak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penggunaan teknologi dalam penanaman kelapa serta penglibatan syarikat peneraju akan membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat kampung.
Jelasnya, penduduk tempatan kini boleh menanam kelapa di kawasan masing-masing dan menjual hasil kepada syarikat yang bertindak sebagai pembeli utama, sekali gus menjamin pasaran yang stabil.
"Saya difahamkan kalau satu keluarga menanamkan kelapa itu, syarikat itu beli daripada kita, sekurang-kurangnya pendapatan bertambah RM6,000 sebulan.
"Jadi kita sudah ada satu cara baru untuk memodenkan pertanian," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di Pusat Sukan Riveria, Debak pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, kerajaan telah mengenal pasti kira-kira 2,000 ekar tanah bagi tujuan penanaman kelapa selain merancang pembangunan kawasan sekitar bagi menyokong aktiviti ekonomi tersebut.
Tambahnya, Jalan Lubok Tamang baharu juga akan menjadi pemangkin kepada sistem logistik yang mampu mengeksportkan tanaman kelapa di agropark tersebut yang akan dihantar ke Bebuling STOLport di Spaoh.
Jelasnya lagi, jalan baharu yang memendekkan perjalanan dari Kampung Tuie/Kampung Manggat ke Debak dan seterusnya ke Spaoh membolehkan tanaman kelapa dieksport dengan cepat.
"Bolehlah kita terbangkan kargo ke Tanjung Embang dan dari Tanjung Embang pula hantar ke China kerana barangan mudah rosak berkehendakan masa yang baik," jelasnya.
Tambahnya, permintaan kelapa di China amat tinggi di mana kelapa keluaran di Bagan Datuk, Perak telah dijual kepada negara tersebut melalui satu syarikat peneraju yang menjual ke negara tersebut.
Justeru katanya, syarikat peneraju dari Perak itu turut dilantik sebagai syarikat peneraju yang sama di Debak bagi membeli kelapa yang ditanam oleh penduduk setempat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery