Premier Sarawak Setuju Lanjutkan Pelaksanaan SPK Di Debak
BETONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersetuju untuk melanjutkan lagi pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) di kawasan Debak bagi kawasan-kawasan yang belum menerima skim tersebut.
Ujarnya, pelanjutan pelaksanaan SPK itu atas permintaan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam.
"Jadi kita akan panjangkanlah di Saribas, di kawasan yang dipohon oleh Datuk Razi," jelasnya mengumumkan berita gembira itu ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di Pusat Sukan Riveria, Debak pada Jumaat.
Terdahulu, Datuk Razi Sitam telah memohon pertimbangan Premier Sarawak bagi melanjutkan lagi permohonan SPK yang telah diluluskan sebanyak 245 lot kepada kampung-kampung lain termasuk mempercepatkan permohonan SPK Debak Fasa 2 melibatkan 193 lot dengan fasa 1 kini dibina sebanyak 52 lot.
Menurutnya, ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk kampung di kawasan tersebut yang kini kian padat.
"Jadi saya memohon kepada Kerajaan Sarawak akan kelulusan SPK kepada kampung-kampung yang belum memohon mahupun kampung-kampung yang sudah membuat permohonan kepada Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Betong untuk dipertimbangkan di samping permohonan SPK Debak Fasa 2 di sebelah masjid.
"Disebabkan masjid sudah ada, SPK yang akan dibina di sebelah masjid itu juga harap dipercepatkan untuk kemudahan orang-orang kampung," katanya lagi.
Difahamkan, skim tersebut melibatkan SPK Kampung Debak Laut, Kampung Bungin, Kampung Serembang, Kampung Manggut, Kampung Sebemban serta SPK Debak Baharu yang melibatkan sebanyak 245 lot rumah.
Dalam pada itu, beliau turut memohon agar enam SPK yang telah siap turut dibina Rumah Spektra Permata seperti terdapat di Spaoh. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery