BETONG: Lebih 5,000 pelajar telah mendaftar di bawah program Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), sekali gus mendapat sambutan yang amat menggalakkan terhadap inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM260 juta bagi menampung yuran pengajian sehingga 10,000 pelajar dengan separuh daripada kuota tersebut telah diisi setakat ini.
"Jadi anak kita yang masih sekolah itu, gunakanlah masa yang ada sebelum jadi tua manakala kos tidak menjadi masalah sebab Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membayar yuran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas di Pusat Sukan Riveria, Debak pada Jumaat.
Tambahnya, pelajar yang mendaftar adalah daripada empat universiti tempatan iaitu Swimburne University, Curtin University, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan i-Cats University College dalam 68 program yang ditawarkan berteraskan bidang sains selain turut merangkumi kursus psikologi, perakaunan, kewangan, undang-undang dan perubatan.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Kerajaan Sarawak turut memberikan biasiswa kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang perubatan memandangkan keperluan mendesak untuk menambah bilangan doktor di Sarawak.
"Kita kurang doktor di sini sebanyak 4,000 orang, maka kita terpaksa mengisi kekurangan doktor itu.
"Jadi kita akan tambah biasiswa kita kepada UNIMAS kerana mereka mempunyai Fakulti Perubatan tersendiri," jelasnya lagi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap ADUN Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery