Sinergi KMKK dan Agensi Pemacu Pembangunan Sadong Jaya
SADONG JAYA: Sinergi kukuh antara Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bersama agensi kerajaan terus menjadi pemacu utama pembangunan luar bandar di Sadong Jaya.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo menegaskan, komitmen berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan setiap perancangan kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak kepada rakyat.
“Kerjasama erat antara KMKK dan agensi kerajaan merupakan kunci kepada perubahan positif serta pembangunan mampan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2026 di Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, memaklumkan Daerah Asajaya dan Sadong Jaya kini berada pada landasan pembangunan pesat melalui pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi, termasuk usaha menaik taraf rangkaian jalan raya bagi meningkatkan ketersambungan kawasan.
Selain itu, perancangan pembinaan lapangan terbang baharu turut dilihat berpotensi menjadi pemangkin ekonomi di kawasan pesisir berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru pentadbiran daerah agar terus mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara telus, cekap dan berkesan.
“Pejabat Daerah Asajaya dan Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya perlu sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada rakyat,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum sebagai asas kekuatan Sarawak.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Watikah Pelantikan Penghulu serta penghargaan kepada KMKK sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada komuniti.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sham Yusuf serta wakil agensi tempatan.-EDISI UKAS