Jelajah Integriti Perkukuh Usaha Banteras Rasuah di Sarikei
SARIKEI: Usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu diperkukuh secara berterusan melalui pembudayaan nilai integriti dalam kalangan masyarakat bagi memastikan pembangunan negeri berjalan secara telus, berakauntabiliti dan mampan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penganjuran Program Jelajah Integriti Sarawak merupakan platform strategik dalam membentuk masyarakat berprinsip dan beretika tinggi selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurut beliau, program seumpama itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah menjadi usaha berterusan dalam melahirkan masyarakat yang menolak rasuah serta mengutamakan amanah dan tanggungjawab dalam setiap tindakan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Integriti Sarawak Tahun 2026 di Dewan Suarah Sarikei, pada Jumaat.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menegaskan bahawa integriti perlu dipupuk bermula daripada individu, memandangkan sikap sambil lewa terhadap perkara kecil berpotensi membawa implikasi besar pada masa hadapan.
Katanya, budaya seperti ‘tidak mengapa’ dan ‘semua orang buat’ tidak wajar dijadikan alasan kerana boleh membentuk norma negatif yang akhirnya menjejaskan kepercayaan masyarakat.
Tambah beliau, nilai integriti dizahirkan melalui tindakan berkata benar, menunaikan amanah serta melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengawasan.
Dalam konteks masyarakat majmuk di Sarawak, jelasnya, integriti memainkan peranan penting dalam memupuk kepercayaan, keharmonian serta memperkukuh perpaduan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menjadikan integriti sebagai tanggungjawab bersama bermula daripada individu, keluarga hingga ke peringkat masyarakat.
Justeru, beliau berharap pengisian program tersebut tidak sekadar menjadi retorik, sebaliknya diterjemahkan dalam amalan harian bagi melahirkan masyarakat berintegriti tinggi yang mampu memastikan Sarawak terus maju dan makmur.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Wan Mohamad Wan Drahman serta Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin.- EDISI UKAS