Penemuan Saintis Tempatan Cetus Potensi Bahan Api Pesawat Daripada Minyak Sawit
KUCHING: Penemuan oleh saintis tempatan yang berjaya mengenal pasti komponen daripada minyak sawit sebagai sumber bahan api pesawat membuka potensi baharu kepada Sarawak dalam industri penerbangan mampan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan teknologi tersebut sedang diterokai oleh penyelidik tempatan di Sarawak Biodiversity Centre (SBC), sebagai asas penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF).
“Hari ini kita ada penemuan saintis kita di Sarawak, iaitu bahan daripada kelapa sawit yang dikenali sebagai PFAD.
“PFAD ini akan menjadi bahan untuk megeluarkan minyak kapal terbang. Jadi, AirBorneo kita akan menggunakan minyak kapal terbang yang dikeluarkan dari Gedong.
“Sarawak akan mengeluarkan minyak kapal terbang SAF ini kerana ini adalah teknologi baru dan yang menemuinya ialah saintis kita sendiri di SBC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong 2026 yang diadakan di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu berkata, penemuan tersebut bukan sahaja memanfaatkan sumber semula jadi negeri, malah memperkukuh kedudukan Sarawak dalam pembangunan teknologi hijau dan industri tenaga alternatif.
Menurutnya, penghasilan produk baharu berasaskan teknologi itu dijangka mampu meningkatkan ekonomi negeri selain menyokong pembangunan infrastruktur secara berterusan.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mededahkan bahawa negara Jepun bakal mengembangkan penanaman alga.
Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil pelanjutan jawatan ketua kaum daerah Gedong serta sijil penghargaan kepada mantan ketua kaum sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan mereka kepada komuniti.
Turut hadir semasa majlis ini ialah anakanda Premier Sarawak Dayang Norjihan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak merangkap Wakil Khas kepada ADUN Gedong Dato Sri Mohd Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS