Papan Pintar Perkasa Pendigitalan Pendidikan di SJKC Kwang Chien
SARIKEI: Inisiatif pendigitalan pendidikan terus diperkasa apabila Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kwang Chien dilengkapi kemudahan papan pintar bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penggunaan teknologi tersebut mampu mempertingkatkan keberkesanan penyampaian ilmu serta menjadikan suasana pembelajaran lebih interaktif.
“Penggunaan papan pintar ini bukan sahaja meningkatkan interaktiviti dalam bilik darjah, malah membantu guru menyampaikan pengajaran secara lebih kreatif dan berkesan selaras dengan perkembangan teknologi masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian papan pintar sekolah tersebut pada Jumaat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu menambah, inisiatif berkenaan menunjukkan usaha berterusan dalam memperkasa pendidikan serta membantu sekolah beralih ke arah sistem pembelajaran digital yang lebih moden.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Huang turut meninjau perkembangan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di sekolah berkenaan, termasuk pembinaan pentas baharu bernilai RM100,000 yang sedang dilaksanakan serta projek menaik taraf dewan sekolah bernilai RM150,000 yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Katanya, sejak tahun 2017, jumlah keseluruhan peruntukan RTP yang disalurkan ke sekolah tersebut mencecah RM453,880, sekaligus menunjukkan usaha berterusan dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur pendidikan.
Selain itu, beliau berkata, permohonan pemasangan kipas siling industri di dewan sekolah turut diluluskan bagi memastikan keselesaan serta persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada SJK (C) Kwang Chien bagi menyokong aktiviti tahunan sekolah.-EDISI UKAS