ORV Jadi Penentu Peluasan Strategi Tangani Rabies Sarawak
KUCHING: Keberkesanan projek rintis Oral Rabies Vaccine (ORV) di kawasan berisiko tinggi sekitar Kuching bakal menjadi penentu utama kepada peluasan pendekatan tersebut ke seluruh Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, inisiatif itu diperkenalkan sebagai alternatif lebih praktikal bagi mengatasi kekangan vaksinasi konvensional yang berdepan pelbagai cabaran di lapangan.
“Kaedah suntikan berdepan banyak kekangan, termasuk kesukaran mengendalikan anjing serta pemilik yang tidak dapat membawa haiwan ke pusat vaksinasi.
“Sebab itu kita melihat ORV sebagai alternatif yang lebih praktikal dan berpotensi meningkatkan liputan vaksinasi,” katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut di Dewan Perpaduan, RPR Fasa 1 Batu Kawa pada Sabtu.
Beliau menambah, kawasan seperti Batu Kawa dipilih sebagai tapak awal pelaksanaan berikutan risiko jangkitan yang lebih tinggi di lokasi berkenaan.
“Jika projek rintis ini menunjukkan hasil positif, kita akan memperluaskan pelaksanaannya ke bahagian lain di Sarawak, tetapi ia bukan satu tugas yang mudah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan pendekatan tersebut amat bergantung kepada tahap kesedaran masyarakat serta kerjasama semua pihak.
“Peranan media sangat penting untuk menyampaikan maklumat supaya masyarakat faham risiko sebenar dan bertindak segera jika berlaku gigitan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan pendekatan bersepadu melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan NGO akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan di peringkat lapangan.
Selain itu, keperluan data yang tepat termasuk populasi haiwan, pemilik serta kes gigitan turut diberi penekanan bagi memperkukuh perancangan strategik.
Penggunaan teknologi seperti mikrocip juga sedang diperluas bagi meningkatkan pemantauan dan pengurusan haiwan peliharaan secara lebih sistematik.
Pendekatan berasaskan inovasi, data dan penglibatan komuniti ini dilihat sebagai pemangkin kepada strategi jangka panjang Sarawak dalam membendung rabies secara lebih berkesan dan mampan.-EDISI UKAS