Pembinaan Jambatan Satukan Masyarakat Melanau Kawasan Pesisir
SIBU: Pembangunan rangkaian jambatan di wilayah pesisir Sarawak kini menjadi pemangkin utama dalam menamatkan era pemisahan geografi yang selama ini membataskan perhubungan sosial dan budaya masyarakat Melanau.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, ketersambungan yang semakin baik menerusi penyiapan jambatan-jambatan utama oleh Kerajaan Sarawak membolehkan komuniti yang dahulunya dipisahkan oleh sungai kini kembali bersatu.
Beliau menjelaskan, kemajuan infrastruktur tersebut dapat dilihat melalui perasmian beberapa jambatan baru-baru ini, selain beberapa projek lain yang dijangka siap dalam masa terdekat.
"Setelah ketiga-tiga jambatan ini siap, termasuk Jambatan Batang Rajang (dinamakan Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang) di Sarikei, Jambatan Paloh yang akan siap tahun depan, serta Jambatan Batang Igan yang menghubungkan Mukah dan Balingian hingga ke Bintulu, kita tidak akan dipisahkan lagi oleh sungai seperti sebelum ini.
"Dahulu kita dinamakan mengikut sungai kerana faktor geografi, namun dengan adanya ketersambungan ini, kita dapat saling berziarah, meningkatkan interaksi, dan merapatkan silaturahim yang lebih erat pada masa hadapan," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berlanggar Meja Perdana Persatuan Melanau Sibu (PMS) di Larizwa Riz’s Grand Hall, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Len turut menyentuh mengenai usaha memperkukuh identiti Melanau melalui pendigitalan Kamus Dialek Melanau Rajang.
Langkah itu penting bagi mengurangkan jurang perbezaan pertuturan dan memastikan generasi baharu tetap menghargai bahasa asal mereka.
Beliau juga menyeru ahli PMS untuk mula membuat persediaan rapi bagi menyambut ulang tahun ke-70 persatuan tertua di Sarawak itu pada tahun depan.
"Tahun depan PMS akan mencecah usia 70 tahun sejak ditubuhkan pada 1957. Kita perlu menyiapkan sesuatu yang besar untuk meraikan simbol usaha tujuh dekad ini dalam menggabungkan anak-anak Melanau di Sibu," katanya lagi.
Hadir sama isteri Len Talif, Datin Asiah Awai, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi serta isteri, Maimunah Jaron, Pengerusi PMS Anis Ili dan yang lain.-EDISI UKAS