SIBU: Persiapan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Tengah terus diperkukuh bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program yang melibatkan bahagian Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Bahagian (Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong), Datu Hii Chang Kee berkata, setiap jawatankuasa terlibat perlu membuat persiapan rapi lebih awal walaupun pelaksanaan program dijadualkan bermula Julai ini.
“Walaupun pelaksanaan di Zon Tengah dijadualkan bermula Julai 2026, semua jawatankuasa diingatkan agar membuat persiapan rapi lebih awal,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan SKS 2026 Zon Tengah yang berlangsung di Hotel Premier Sibu, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datu Hii juga menekankan mengenai penglibatan usahawan tempatan dalam pameran dan gerak kerja program.
Beliau menambah, petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap jawatankuasa di semua bahagian adalah berdasarkan jumlah kehadiran pengunjung, sejajar dengan matlamat meningkatkan impak program kepada rakyat.
Dalam mesyuarat itu, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak telah membentangkan laporan postmortem SKS 2026 Limbang yang mana ia menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan kehadiran seramai 16,917 pengunjung.
Selain itu, cadangan penambahan dua kaunter baharu iaitu Tabung Haji dan Talikhidmat turut dibincangkan untuk diperluaskan bermula dari Miri.
Mesyuarat turut diisi dengan pembentangan oleh ahli jawatankuasa berkaitan bagi mengemas kini status gerak kerja serta tahap kesiapsiagaan penganjuran program.
Program SKS 2026 Zon Tengah dijadualkan bermula di Dataran Bandar Sibu pada 10 hingga 12 Julai, diikuti Kompleks Sukan Sarikei pada 7 hingga 9 Ogos, seterusnya di Dataran Pehin Sri Raja, Mukah pada 28 hingga 30 Ogos dan berakhir di Kompleks Sukan Betong pada 4 hingga 6 September 2026.
Antara yang turut hadir ialah Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Residen Bahagian Sarikei Datu Micheal Ronnie Langgong, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Grace Huong Siew Hung dan Timbalan Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak Mohamad Ashree Wee.-EDISI UKAS