Sarawak Perkukuh Autonomi Kesihatan Melalui Penyelarasan Strategik Bersama KKM
PUTRAJAYA: Usaha mempercepat pelaksanaan autonomi kesihatan Sarawak terus diperkukuh apabila Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, pada Jumaat.
Pertemuan strategik itu menjadi langkah penting dalam menyelaras perkara tertunggak berkaitan pelaksanaan autonomi kesihatan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat terus diperkasa tanpa gangguan.
Pertemuan berkenaan turut menjadi platform strategik bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai aspek utama termasuk penyelarasan pentadbiran, perancangan sumber manusia serta pembangunan sektor kesihatan, ke arah memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sarawak.
Dalam pertemuan itu, beliau menegaskan kepentingan pendekatan berstruktur dan kolaboratif dalam menangani isu peralihan, bagi memastikan proses penyelarasan dilaksanakan secara teratur tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia menyambut baik penglibatan berterusan tersebut dan menegaskan komitmen kementerian untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dalam menangani aspek dasar, perundangan dan operasi yang timbul daripada pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Turut mengiringi Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Elizabeth Loh, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Ir. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan serta pegawai kanan Kerajaan Sarawak yang lain.-EDISI UKAS